Allah Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk serta hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan dengan petunjuk Allah saja dapat mengubah manusia dari kekufuran kepada keimanan atau kegelapan kepada cahaya kebenaran.
Allah berfirman maksudnya: “Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125)
Jelas di sini bahawa Allah saja berkuasa untuk mengurniakan hidayah petunjuk-Nya kepada manusia yang dikehendaki supaya beriman kepada-Nya. Orang yang mendapat hidayah Ilahi akan segera merasa lega serta lapang dadanya.
Sebaliknya orang yang tertutup pintu hatinya daripada menerima hidayah Allah itu akan merasa cemas dan buntu sebagai balasan di atas sikap derhaka kepada Allah.
Hidayah ialah petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan serta kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Berdasarkan definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa hidayah mempunyai pelbagai dimensi tafsiran antaranya hidayah Islam, hidayah al-Quran, hidayah Nabi dan sahabatnya, hidayah kebenaran dan hidayah jalan yang lurus.
Biar apa pun tafsiran dari sudut klasifikasi hidayah, namun pengertiannya yang beraneka itu tetap membawa maksud yang sama iaitu hidayah petunjuk ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan abadi.
Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa memohon hidayah petunjuk daripada Allah ke arah jalan yang benar, lebih-lebih lagi perjalanan hidup insan menuntut ketabahan, kesabaran dan pertolongan Ilahi untuk kejayaan dalam hidupnya.
Oleh sebab itulah, Islam mensyariatkan amalan berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah kepada setiap Muslim yang beriman kepada-Nya.
Perlu diinsafi bahawa hidayah petunjuk yang dianugerahkan Allah kepada seseorang manusia sebenarnya tidak boleh diukur berdasarkan kepada keadaan lahiriah semata-mata.
Sebaliknya, bergantung kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa sanubari manusia.
Dalam erti kata lain, Allah hanya mengurniakan hidayah-Nya kepada hamba yang benar-benar beriman dan bertakwa sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu; dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”.(Surah Yunus, ayat 57)
Selanjutnya, hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian darah, kekeluargaan atau kaum kerabat. Ada orang mendapat hidayah petunjuk Allah dan hidup bahagia akan tetapi anaknya seorang yang derhaka kepada Allah.
Ini ditunjukkan jelas dalam kisah Nabi Nuh dan anaknya, begitu juga Rasulullah sendiri dengan bapa saudaranya Abu Lahab.
Ada juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dosa tetapi anaknya seorang yang soleh dan patuh kepada ajaran Islam. Ini berlaku kepada Nabi Ibrahim dengan ayahnya, seorang pengukir patung berhala.
Oleh sebab itu, kita tidak boleh menyangka orang yang selalu melakukan kejahatan susah menerima kebenaran serta tidak akan mendapat hidayah Allah kerana hanya Allah berkuasa memberikan hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki.
Kesimpulannya, hidayah petunjuk adalah di bawah bidang kuasa Allah sehingga para nabi dan rasul sekalipun tidak mampu untuk memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.
No comments:
Post a Comment